5 Perkara Asas Penyelenggaraan Kereta Yang Selalu Kita Lupa!


1. Memeriksa kereta secara umum

Selalu kita memasuki sahaja kereta kita, pasang enjin, tukar gear, lalu terus memandu tanpa menunggu. Kita bergerak dengan anggapan bahawa kereta kita dalam keadaan yang tiptop tiada masalah. Jika kita dalam kecemasan atau lambat ke kerja tidak apa. Namun jika kita mempunyai masa yang lebih, gunakanlah masa itu untuk memeriksa secara umum komponen kereta kita.

Adakah lampu depan dan lampu brek menyala? Adakah lampu signal kita berfungsi? Bagaimanakah keadaan tayar kita? Bagi yang mempunyai kanak-kanak atau binatang peliharaan di halaman rumah juga perlu memeriksa adakah mereka berdekatan dengan kereta? Dibawah kereta? Dibelakang kereta? Ini semua yang perlu kita persoalkan sebelum bergerak.

2. Memeriksa minyak enjin

Minyak enjin adalah salah satu bahan yang amat penting bagi menjaga komponen enjin kita. Sama seperti sendi-sendi tulang kita yang perlu Omega-3 bagi melincirkan geseran antara tulang, komponen-komponen di dalam enjin juga perlukan pelincir. Jika minyak enjin kita kotor atau berkurang, ia pasti akan merosakkan komponen dalaman enjin dan pastinya akan menyebabkan kita keluar duit lebih menghantar ke bengkel untuk membaiki.

Setiap enjin kereta kebiasaannya ada batang celup atau 'dipstick' seperti ini:


Batang celup ini adalah alat untuk memeriksa minyak enjin. Setiap kereta ada variasi yang berlainan bergantung pada jenama pembuat kereta tersebut, tetapi konsepnya tetap sama.

Di hujung batang celup ini ada dua titik penunjuk, satu titik di hujung, dan satu lagi diatasnya. Jika minyak yang melekat di batang celup tersebut kurang dari titik dibawah, itu adalah paras yang bahaya dan anda perlu mengisi semula minyak enjin bagi mengelak sebarang kerosakan. Paras minyak tersebut juga tidak boleh melebihi titik diatas kerana itu akan mengakibatkan penggunaan petrol yang lebih. Paras yang ideal adalah jika minyak enjin tersebut tepat-tepat bersentuh dengan titik diatas.

Minyak enjin yang hitam pula menandakan bahawa minyak enjin itu telah kotor. Periksa semula bila kali terakhir kita menukar minyak enjin. Kebiasaannya, minyak enjin yang bukan sintetik perlu ditukar selepas 8000km penggunaan, manakala minyak enjin sintetik boleh bertahan hingga 15000km atau lebih.

3. Mengisi air radiator

Selalunya kita akan nampak sebuah kereta berhenti di tepi jalanraya dengan asap berkepul-kepul lalu 'si Brader' itu garu kepala melihat bahagian enjin keretanya. Besar kemungkinan enjin 'si Brader' itu sudah terlalu panas akibat dia lupa untuk mengisi air radiator.

Radiator adalah satu komponen penting bagi mengawal suhu enjin agar tidak terlalu panas, dan dalam keadaan suhu sejuk, untuk tidak terlalu sejuk. Air di dalam radiator akan beredar melalui hos lalu ke water pump yang terletak di tepi enjin lalu balik ke radiator. Ketika kita sedang memandu, udara dari hadapan kereta akan menyejukkan kembali air di dalam peredaran tersebut.

Adalah amat penting bagi kita memeriksa air radiator terutama sebelum berjalan jauh. Bagi mengelakkan situasi seperti 'si Brader' tersebut. Enjin yang terlalu panas juga berpotensi menjadi rosak dalam jangka masa yang lama.

4. Bateri kereta

Bateri kereta berfungsi untuk membekal dan mengedarkan tenaga elektrik kepada komponen-komponen kecil kereta seperti lampu, radio, serta starter enjin. Bateri kereta ada dua jenis, bateri sel basah yang sering digunakan serta bateri sel kering.

Bateri sel basah memerlukan pemeriksaan sekali sekala kerana ia perlu air bateri untuk ia berfungsi dengan bagus. Bateri sel kering pula tidak perlu apa-apa penyelenggaraan, namun ia lebih mahal dari bateri sel basah.

Jika kita menghidupkan kereta pada pagi-pagi dan dapati bahawa starter kita agak tersangkut-sangkut untuk menghidupkan enjin, salah satu kemungkinan adalah bateri kereta tersebut kurang cas ataupun telah berada di hujung hayatnya. Disarankan bateri tersebut diganti baru ataupun jika dalam kecemasan boleh di cas semula menggunakan pengecas yang khas untuk bateri kereta, bukan powerbank ya!

5. Memeriksa keadaan tayar

Tayar adalah titik penyentuh antara kereta kita dan jalanraya. Jika tayar kita dalam keadaan yang kurang baik, tentulah keselamatan kita di jalanraya terjejas.

Tekanan angin tayar adalah penting bagi keselesaan, keselamatan serta kecekapan penggunaan petrol kereta kita. Kebanyakan kereta mempunyai sticker yang melekat di tepi pintu pemandu seperti ini:


Sticker ini menunjukkan berapa tekanan angin mengikut unit kilopaskal (kPa) atau pounds per square inch (psi) yang sesuai bagi kereta kita. Seperti contoh kereta saya memerlukan 34psi di tayar hadapan manakala 32psi di tayar belakang. Tahap-tahap tekanan angin ini ditentukan dari pengilang kereta sebagai tekanan yang optimum bagi kecekapan penggunaan petrol serta ketahanan bunga tayar.

Hah, berkata tentang bunga tayar. Bunga tayar juga kita perlu periksa selalu kerana tanpa bunga tayar yang dalam, kecekapan tayar kita dalam cuaca hujan berkurang. Ini boleh menyebabkan keadaan 'aquaplane' iaitu tayar kita seolah-olah berlayar diatas air dan tidak lagi mencengkam permukaan jalanraya.

Bagi memeriksa kedalaman bunga tayar ada caranya:



Gambar pertama diatas menunjukkan arah tunjuk yang biasanya ada di setiap tayar. Ia menunjukkan dimana hendak memeriksa kedalaman bunga tayar. Iaitu adalah takuk yang berada di gambar kedua, takuk ini adalah ditentukan oleh pembuat tayar tersebut sebagai tahap yang paling rendah bunga tayar tersebut selamat digunakan.

Dinasihatkan agar tayar kereta kita ditukar sebelum bunga tayar menipis dan menyentuh takuk tersebut.



Comments

Popular Posts