5 Nasihat Bagi Yang Baru Berjinak Bekerja Di Dapur Rumah

Gambar oleh Naomi Hébert dari Unsplash

1. Kebersihan

Paling penting sekali ketika bekerja di dalam dapur adalah menjaga kebersihan. Amat ramai orang yang kita lihat mempunyai dapur yang kotor. Banyak jenis kuman dan bakteria yang boleh membawa pelbagai penyakit jika makanan kita dimasak dalam persekitaran dapur yang kurang bersih. Pada tahun 2015, terdapat 14,433 kes keracunan makanan di Malaysia.

Biasakan diri dengan mencuci segala perkakas dapur setelah digunakan seperti pinggan, mangkuk, sudu dan garpu menggunakan air panas serta sabun anti-bakteria. Permukaan meja dan singki dapur juga perlu sentiasa di lap. Lantai selalu di sapu serta mop, juga menggunakan sabun anti-bakteria.

Dengan menjaga kebersihan di dapur kita dapat kurangkan risiko kes-kes keracunan makanan serta dapat juga menghindari binatang-binatang yang kotor dan perosak seperti lipas, lalat dan tikus berleluasa di dalam persekitaran dapur.

2. Susunan & Perancangan

Jika anda biasa kerja di dapur, anda pasti sudah pernah geram jika anda ingin memasak tetapi peralatan yang anda perlukan sukar untuk dijumpai. Mahu masak mee segera 5 minit, cari periuk sudah setengah jam. Hah, itulah sebabnya kita perlu susun segala peralatan dalam dapur kita. Agar senang kita mencari peralatan tersebut ketika kita ingin menggunakannya.

Sebelum kita memasak pula kita perlu membuat perancangan serta penyediaan segala bahan-bahan dan peralatan yang kita perlukan. Bagi mengelak kejadian "Nasi dalam kuali tengah goreng, baru kelam kabut nak memotong sayur, tengok-tengok nasi dah hangus".

3. Kenali Bahan-Bahan & Peralatan

Bercakap tentang bahan-bahan serta peralatan. Kita juga perlu mengenali semua bahan-bahan dan juga peralatan yang kita gunakan di dalam dapur. Jangan pula halia, kunyit dan lengkuas pun tidak tahu beza. Ataupun lebih teruk, garam dengan gula pun tidak tahu beza. Silap-silap nanti buat sirap bandung masin betul pula.

Rajin-rajin Google setiap bahan. Contohnya tomato. Apakah itu tomato? Bagaimanakah rasa tomato? Macam mana ingin kita gunakan dalam masakan kita? Jika lebih perkara kita tahu tentang bahan-bahan yang kita ada, lebih kita menghargai dan menggunakannya.

4. Belajar Mengendali Pisau

Paling ramai orang takut ketika bekerja di dapur adalah bab pengendalian pisau. Malah ada yang langsung tak berani mendekati dapur kerana takut pisau. Entah lah, mungkin juga mereka ada pengalaman buruk dengan pisau. Pernah mimpi banyak pisau-pisau terbang kejar mereka kot.

Tetapi sebenarnya segala jenis pisau adalah amat mudah untuk digunakan. Dan petua yang biasa dikatakan adalah "Lebih tajam pisau tersebut, lebih selamat ia digunakan." Kenapa? Sebab jika pisau itu tumpul, kita perlukan tekan dengan tenaga yang lebih untuk memotong, contohnya kentang. Ia akan meningkatkan risiko kita hilang kawalan terhadap pisau tersebut dan boleh menyebabkan kemalangan atau kecederaan.

Bila kita menggunakan pisau yang tajam bilahnya, kita tidak perlu menggunakan banyak tenaga maka kerja memotong kita juga pantas dan selamat. Pisau yang tajam juga dapat mengurangkan kejadian mata kita pedih akibat memotong bawang. Kerana pisau yang tumpul akan memecahkan serat-serat halus bawang tersebut dan mengeluarkan cecair bawang tersebut, manakala pisau yang tajam akan memotong serat tersebut dengan potongan yang bersih.

5. Jangan Takut Untuk Mencuba Resipi Baru

Jika anda sudah biasa amalkan nasihat-nasihat di atas, dan biasa sudah memasak setiap hari. Jangan takut untuk mencuba resipi baru. Masakan yang sama setiap hari akan membuat anda bosan dan tidak bersemangat untuk bekerja di dalam dapur. Cuba lihat majalah, Google ataupun Facebook rakan-rakan anda. Kemungkinan anda akan menjumpai resipi-resipi yang anda minati.

Jangan risau, bukan semua resipi makanan kita mampu tiru dengan tepat pada kali pertama. Pasti ada kesilapan sini sana. Teruskan mencuba. Trial and error. Sampai resipi yang anda masak itu menjadi.

Lebih kita mencuba resipi baru juga, lebih lagi bahan-bahan dan peralatan baru yang kita dapat pelajari. Mungkin dulu anda tidak pernah menggunakan oven, dari sini anda akan membeli serta pelajari menggunakan oven. Dan anda akan mencari lagi banyak resipi yang boleh dimasak menggunakan oven tersebut.

Orang rumah pun happy dapat makan tiap-tiap hari. Hehehe...

Comments